Wednesday, November 28, 2007

Anwar: Bukti Penyelewengan Pilihan Raya Tidak Boleh Diabaikan

Sumber Dari : LAMAN RASMI PKR

28 November 2007 Penafian berterusan wujudnya penyelewengan pilihan raya oleh kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya akan menjejaskan lagi imej Malaysia yang telahpun tercemar selama ini..

Laporan Sham Democracy mencatatkan bagaimana persempadanan semula daerah mengundi, pengundi hantu, politik wang, akses media yang terhad dan faktor-faktor lain telah menimbulkan suasana pilihan raya yang tidak adil di Malaysia yang jelas mengekang pembangkang.

Bukti-bukti spesifik termasuklah:

* Pada tahun 1999, SPR mendakwa mereka tidak “mempunyai masa yang mencukupi” untuk meluluskan pendaftaran pengundi yang mendaftar pada Mei untuk pilihan raya pada November; kelulusan biasanya mengambil masa tiga bulan. Ini jelas sekali suatu usaha yang terancang untuk menafikan seramai 680,000 orang yang mendaftar pengundi baru ketika gelombang Reformasi.

* Pada tahun 2004, daerah mengundi yang tidak wujud ditemui. Di Gombak, wujud 2 daerah mengundi dengan nama yang sama (Kemensah 098/18/04) tetapi memberikan dua keputusan yang berbeza.

* Pada tahun 2004, rekod mencatatkan Ali bin Omar (No. K/P 280903-02-5057), bapa seorang pemimpin utama KeADILan hadir ke pusat membuang undi meskipun sudah meninggal dunia. Bukan sahaja itu, malah didapati beliau mengundi calon Barisan Nasional.

* Pada pilihan raya 2004, 37.6% daripada pengundi di kawasan Parlimen Lembah Pantai didapati mempunyai alamat yang tidak boleh dikesan. Menurut daftar pemilih sebuah kedai runcit beratap zink di Kampung Kerinchi memuatkan seramai 141 pengundi.

* Pada pilihan raya kecil Ijok pada tahun 2007, sebanyak 142 kertas undi tidak dipulangkan dari Peti Undi 4 daerah mengundi di Pekan Berjuntai Besari Utara. Ini timbul kerana amalan mengambil kertas mengundi kosong dan menjualnya kepada ejen yang akan menandakan kertas undi tersebut dan memberinya kepada pengundi lain yang akan membuang undi, dan membawa keluar kertas undi kosong dan mengulangi proses tersebut.

* Pada Oktober 2007, di kawasan Parlimen Ipoh Timur yang merupakan kubu pembangkang, didapati wujud 8,463 pengundi baru di dalam masa hanya tiga bulan. Sebelum ini Ipoh Timur mempunyai 48,000 pengundi berdaftar dan pembangkang menanginya dengan majoriti 9,774 undi.


100,000 rakyat Malaysia baru sahaja berkumpul di dalam Perhimpunan Agung Bersih pada 10 November untuk menuntut pilihan raya adil dan bersih. Justeru, reaksi kerajaan menunjukkan keangkuhan mereka yang ingin meneruskan penyelewengan yang sedia ada.

Kami menuntut penilaian penuh dasar dan prosedur SPR agar mereka menepati tahap ketelusan antarabangsa sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum yang berikutnya.

KeADILan akan terus bekerjasama dengan masyarakat madani dan parti-parti pembangkang untuk memastikan hak setiap insan untuk hidup dibawah kerajaan yang dipilihnya akan terus dipertahankan di negara kita.

-ANWAR IBRAHIM-

No comments: